Pages

APA SUMBANGAN ANDA TERHADAP SEKOLAH?

Assalamualaikum. Dalam pada melayari arkib berita, saya terjumpa sebuah artikel menarik untuk dikongsi bersama. Semoga dapat kita sama-sama membuka minda kita apabila membaca artikel ini dan apa yang penting ialah....KERJASAMA!

SUMBER: ARKIB MINGGUAN MALAYSIA : 02/10/2009

APA SUMBANGAN IBU BAPA KEPADA SEKOLAH?
Oleh SITI FATIMAH ABDUL RAHMAN

KETIKA Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa sering bertanya mengenai apakah yang dilakukan oleh pihak sekolah untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak mereka. Namun, pernahkah para ibu bapa bertanya apa pula sumbangan kita kepada sekolah tempat anak kita mencari ilmu?


Lebih dua bulan lalu, Datin Seri Rosmah Mansor menyarankan agar kita mencontohi masyarakat Cina dalam memberi sumbangan kepada sekolah demi kemajuan pendidikan anak-anak.

Cadangan itu amat wajar memandangkan sikap sesetengah ibu bapa yang begitu berkira untuk mengeluarkan wang demi pendidikan anak-anak. Ini terbukti apabila untuk mengutip yuran tahunan sekolah pun kerajaan perlu melakukannya dengan penuh diplomasi.

Pada kesempatan tertentu seperti hari terbuka sekolah atau hari sukan atau ketika mesyuarat agung PIBG, pernahkah kita melihat-lihat persekitaran sekolah untuk mengenal pasti kekurangan yang ada dan membaikinya? Pernahkah kita terfikir untuk menderma secara sukarela kepada tabung PIBG agar aktiviti bermanfaat dapat dijalankan demi kebaikan anak-anak kita?

Pernahkah kita terfikir untuk mewakafkan sesuatu untuk kegunaan semua murid di situ? Dalam salah satu mesyuarat jawatankuasa PIBG di sekolah anak penulis, seorang bapa telah bermurah hati untuk mendermakan sembilan daun pintu tandas setelah mendapati sembilan tandas murid di sekolah itu tidak berpintu. Ada juga hikmahnya bapa murid ini menemani anaknya ke tandas ketika hadir mesyuarat itu.

Mengapa tandas-tandas itu dibiarkan tidak berpintu sedangkan ia melibatkan isu aurat dan privacy ketika ke tandas - agak sukar difahami oleh penulis. Menurut pihak sekolah, mereka telah melaporkan perkara itu ke Pejabat Pelajaran. Namun, tiada tindakan diambil sehinggalah pintu-pintu tandas itu didermakan oleh seorang bapa dan dipasangkan oleh bapa murid lain.

Kemurahan hati kedua-dua orang bapa tadi ternyata memberi sumbangan yang besar kepada sekolah dan memberikan keselesaan kepada semua murid di sekolah tersebut. Bayangkan jika semua ibu bapa murid di sekolah ini bersikap pemurah dan ringan tangan seperti kedua-dua bapa tadi. Pelbagai kemudahan akan dapat disediakan dan para pelajarnya akan mendapat manfaat yang begitu besar sekali.

Secara umumnya, umat Islam faham bahawa agama Islam mengagungkan ilmu. Menuntut ilmu menjadi kewajipan setiap umat Islam. Menuntut ilmu itu amat digalakkan sehingga dalam sebuah hadis disebut bahawa Allah akan memudahkan satu jalan untuk ke syurga bagi mereka yang keluar untuk menuntut ilmu.

Sikap mengutamakan ilmu oleh Islam ini juga jelas apabila ia meletakkan golongan yang berilmu pada satu kedudukan yang tinggi (Surah al-Mujadalah: 11). Ganjaran dunia dan akhirat yang dijanjikan oleh Allah ini bukanlah untuk mereka yang menuntut ilmu dan yang memiliki ilmu sahaja, tetapi juga kepada mereka yang membelanjakan hartanya untuk ilmu, perkembangan ilmu serta bagi tujuan orang lain mendapatkan ilmu.

Ini kerana apa-apa perbelanjaan yang dikeluarkan atas nama ilmu yang bermanfaat, ia dianggap sebagai perbelanjaan ke jalan Allah. Maka, mengapa kita begitu sukar untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak?

Sebenarnya, ada banyak cara untuk menyumbang kepada sekolah anak-anak kita. Bagi yang berduit, mereka boleh menderma. Namun, pada pandangan penulis, kita tidak perlu tunggu kaya sebelum kita boleh menyumbang dalam bentuk wang. Apa yang lebih penting ialah kemahuan.

Kalau dalam sebuah sekolah itu setiap ibu atau bapa boleh dermakan RM1 sebulan untuk setiap anak, sebuah sekolah yang memiliki 1,000 murid akan mempunyai dana tambahan sebanyak RM1,000 setiap bulan. Ia bersamaan RM12,000 dana tambahan setahun. Macam-macam yang boleh dibuat oleh sekolah dengan duit sebanyak ini untuk perkembangan minda dan sahsiah anak-anak kita.

Mereka yang ada ilmu dan kemahiran tentang sesuatu pula, boleh berkongsi ilmu dan kemahiran itu dengan para pelajar melalui kelas-kelas tambahan atau aktiviti tertentu. Sebagai contoh, di kaca TV kita selalu menonton watak bapa yang menjadi jurulatih kepada pasukan bola sepak anaknya. Banyak lagi ruang lain yang boleh digunakan untuk memberikan sesuatu ilmu atau kemahiran kepada murid-murid di sekolah anak-anak kita.

Peluang ini juga merupakan satu lagi saluran untuk kita merebut ganjaran daripada Allah. Seperti yang kita maklum, semua amalan kita akan terhenti bila kita meninggal dunia, kecuali tiga perkara iaitu sedekah yang berterusan, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan.

Maka, seandainya kita secara sukarela memberi sesuatu ilmu dan kemahiran kepada murid-murid di sekolah tersebut dan mereka pula menggunakannya sepanjang hidup mereka, maka selama itulah amalan kita tidak akan terputus.

Cara lain untuk menyumbang adalah dengan memberikan sesuatu perkhidmatan. Misalnya, seperti si bapa yang memasangkan daun pintu tadi. Beliau mungkin tiada wang untuk didermakan, tetapi beliau ada kemahiran untuk disumbangkan. Ibu bapa yang ada kemahiran seperti ini boleh menawarkan diri kepada pihak sekolah. Contohnya, apabila ada paip pecah atau tersumbat dan sebagainya, pihak sekolah boleh menggunakan khidmat mereka untuk membaiki kerosakan-kerosakan seumpama itu dan mengembalikan keselesaan kepada semua pengguna di sekolah itu, khususnya para pelajar.

Marilah kita mengubah sikap kita terhadap pihak sekolah. Daripada semata-mata mengharapkan sekolah melakukan keajaiban kepada anak-anak kita, apa kata kita bantu mereka untuk melakukan keajaiban itu? Kita boleh bantu dengan wang, dengan ilmu dan kemahiran, juga dengan sesuatu perkhidmatan.

Dalam kes pintu tandas tersebut, jika wujud kemurahan hati dan keringanan tulang di pihak ibu bapa, berserta koordinasi yang baik dari pihak sekolah, penulis yakin masalah itu akan dapat diatasi lebih awal lagi.

*PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan