WAJIB JAGA HATI IBU

Oleh Hayati Ibrahim (Harian Metro, Jumaat, 11.12.2009)

PUTRAJAYA: Anak menderhaka terhadap ibu bapa dianggap manusia tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan yang tidak akan mencium bau syurga selagi tidak bertaubat kerana perbuatan itu memutuskan silaturahim.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata golongan itu tidak akan dirahmati dan diberkati Allah, malah kehidupan mereka sentiasa tidak tenang selain selalu berdepan dengan malapetaka dan dugaan besar.

“Ibu insan paling istimewa, malah Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah ditanya sahabat, siapakah manusia yang wajar diletakkan di tempat pertama untuk diberikan penghormatan dan kebaikan, Nabi menjawab: Ibu. Sahabat terus bertanya sehingga tiga kali, kemudian barulah disebut ayah yang perlu diberi penghormatan dan kebaikan.

“Syurga di bawah tapak kaki ibu, keredaan Allah adalah bersyaratkan keredaan ibu bapa, kemurkaan ibu bapa melambangkan kemurkaan Allah.
“Justeru, jadikanlah peristiwa ini sebagai satu pengajaran kepada orang lain dan menginsafi apa yang sudah dilakukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Beliau diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro, kelmarin mengenai seorang lelaki tergamak menghantar ibu berusia 84 tahun ke rumah kebajikan, selepas mengetahui ibunya pernah menjaja tubuh untuk membesarkan tiga anak yang masih kecil akibat ditinggalkan suami.
Bukan itu saja, anak bongsu berusia 40-an yang mempunyai kedudukan, pangkat dan hidup mewah hasil didikan dan titik peluh ibunya, langsung tidak pernah menjenguknya selepas menghantarnya ke rumah orang tua sejak 2007, sehinggalah wanita itu menghembuskan nafas terakhir, dua tahun kemudian.

Noh berkata, kejahatan seseorang itu hanya ditanggung dirinya sendiri dan pihak lain tidak perlu menghukum di atas semua perbuatan jahat yang pernah dilakukan kerana Allah akan membalas semua kebaikan dan keburukan dilakukan hamba-Nya.

“Orang lain tidak akan memikul dosa dilakukan orang lain, tetapi ia akan ditanggung individu itu sendiri, seperti firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 164 yang bermaksud: “Dan tiadalah segala kejahatan yang diusahakan tiap-tiap seorang melainkan orang itulah saja yang akan menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja),” katanya.Mengulas lanjut isu itu, Noh berkata, perbuatan ibu lelaki terbabit juga dosa besar dan wajar melakukan taubat nasuha.

“Ibu lelaki terbabit sudah melakukan dosa besar, tetapi tidak sampai peringkat syirik dan boleh diampun Allah. Jadi, si ibu perlu perlu melakukan taubat nasuha memohon keampunan Allah,” katanya.Selain itu, beban kesalahan itu tidak sepatutnya diletakkan semata-mata kepada wanita atau si ibu kerana si suami mempunyai tanggungjawab sepenuhnya kepada anak serta isteri mereka walaupun sudah berpisah. “Suami seperti ini perlu diheret ke mahkamah dan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap mereka kerana mengabaikan tanggungjawab nafkah bekas isteri dan anak. “Walaupun sudah bercerai, suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak, tak ada kompromi,” katanya.

WAJIB JAGA HATI IBU
KUALA LUMPUR: Sejahat mana seorang ibu, si anak wajib menjaga hati serta berusaha memperbetulkan perbuatan mereka kerana tanpa jasa wanita itu, anak tidak mungkin mampu melihat langit dan bumi.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam (Pekesim), Ghafar Nin, berkata walaupun seorang ibu itu pernah menjadi pelacur, anak tidak berhak menyisihkan mereka kerana Tuhan saja layak menghukum hamba-Nya.

“Anak itu sepatutnya mendoakan serta membimbing ibunya bertaubat bukan membencinya kerana jasa wanita itu membesar dan menyayanginya sejak kecil tidak mungkin terbalas,” katanya mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan seorang lelaki ‘membuang’ ibunya yang berusia 84 tahun ke rumah kebajikan selepas mengetahui wanita itu pernah bekerja sebagai pelacur untuk membesar dan mendidiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hebahan

Pihak sekolah SK Sri Suria Satu ingin mengucapkan
Selamat Menyambut Hari Guru kepada para guru sekolah dan luar sekolah.

Pautan berkaitan: Perutusan Rasmi dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di laman KPM.