BALASAN SEGERA JIKA DERHAKA KEPADA IBU BAPA

Rasulullah saw ada bersabda yang maksudnya, “Barang siapa membuat ibu bapanya gembira, maka sesungguhnya ia membuat kegembiraan Allah. Barang siapa menyakitkan hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah.”

Dalam satu hadis lain , Nabi Muhammad juga bersabda, “Tidak ada perbezaan antara orang yang menyakiti dan menderhaka kepada ibu bapa dengan iblis di dalam neraka melainkan satu darjat. Dan tidak ada bezanya antara orang yang berbuat bakti kepada ibu bapa dengan manusia di dalam syurga melainkan satu darjat saja dan sama kedudukannya dengan para Nabi di dalam syurga.”

Sabdanya lagi, “ Ada tiga golongan yang akan menerima seksaan lebih azab berbanding golongan lain di neraka, iaitu orang yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang berzina dan orang yang menyekutukan Allah.” Empat golongan yang tidak dimasukkan Allah ke syurga dan tidak merasa nikmatnya syurga ialah peminum arak, pemakan riba, pemeras dan memakan harta anak yatim serta orang yang derhaka kepada ibu bapanya.

Dalam hal ini Rasulullah bersabda yang maksudnya, “ Semua dosa dilambatkan Allah hingga hari kiamat melainkan derhaka kepada ibu bapa, maka sesungguhnya Allah menyegerakan seksaan bagi yang bersangkutan sewaktu hayatnya di dunia ini sebelum matinya.” Ini jelas menunjukkan dosa anak derhaka dipercepatkan Allah balasannya ketika di dunia lagi dengan menimpakan bala kepada mereka.

Anak yang tidak menghormati ibu bapa tidak akan aman hidupnya ketika di dunia dan menerima balasan lebih hebat di akhirat. Umat Islam harus sentiasa sedar bahawa tiada siapa dapat menyangkal bahawa ibu bapa adalah orang yang paling berjasa dalam kehidupan kita. Ibu melahir dan mengasuh kita hingga ada ketikanya tidak mempedulikan kesenangannya demi keselamatan, kesihatan dan kebahagiaan si anak. Manakala bapa pula mencari nafkah siang malam bagi melaksanakan tanggungjawab memberi nafkah, makan, pakaian dan menyekolahkan anak-anak.

Allah swt berpesan dalam Surah al-Israk ayat 23 dan 24 yang bermaksud,
“ Tuhanmu memerintahkan kamu jangan menyembah selain daripada Nya dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang di antara keduanya telah tua jangan engkau mengeluarkan perkataan kasar, jangan pula engkau mengherdik, hendaklah engkau ucapkan perkataan yang mulia dan lemah-lembut kepada kedua-duanya.

Rendahkanlah sayap kehinaan kerana cinta kepada kedua-duanya dan hendaklah engkau doakan : Hai Tuhanku, rahmatilah mereka sebagaimana kedua-duanya mendidik aku semasa kecil.” Firman Allah swt ini jelas menunjukkan wajibnya seseorang itu menghormati ibu bapa dan Allah juga menjanjikan dosa besar kepada mereka yang ingkar terhadap ibu bapa.
Petikan dari - Renungan, Gema Islam, Berita Minggu, Ahad 5 Sept 2004.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Hebahan

Pihak sekolah SK Sri Suria Satu ingin mengucapkan
Selamat Menyambut Hari Guru kepada para guru sekolah dan luar sekolah.

Pautan berkaitan: Perutusan Rasmi dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di laman KPM.