Memaparkan catatan dengan label ARTIKEL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ARTIKEL. Papar semua catatan

NURUL HANIS HASHIM' WROTE ON GLOBAL CITIZEN

SK Sri Suria 1's ex-student, Nurul Hanis bt Hashim had won an article writing competition held by the British Council and the prize was a trip to Taiwan! Congratulations! We are proud of you Hanis. Keep it up!


I’M A GLOBAL CITIZEN

There is no other place like this word. A place full of life. People of different races, cultures and religions. First of all, I’m proud to be a global citizen because for me all of us have the responsibility to make this world a better place to live. This colorful and beautiful place is called Earth.

As a global citizen, it is my duty to gather all my friends and family to join forces to save the Earth. The world would be a far better place if WE (I, the global citizen and my family and friends the global citizens) all believe we are citizens of the world. However, for those who ignore this responsibility, it is impossible to make this world as perfect as we want it. We have to take action and unite together so that we can preserve our planet. Being global citizen means that we have responsibilities not just to each other but to the Earth herself.

To unite together, we have to learn to be good in nature. To be good in nature, we must first learn how to tolerate with each other. We are all humans; therefore we are already linked to one and another. Therefore, we should respect other people's ways of lives no matter you are black or white, brown or yellow. Being egocentric will divide us even further, thus disable us to unite. Unity is a very important element of being global citizenship because if we unite together, we will achieve more and more things for instance justice, power and peace. As they say ‘all for one and one for all’.

Nurul Hanis di Taiwan bersama rakan-rakan daripada negara lain.

We should also open our mind on how to create a peaceful place for everyone regardless of their skin colours, race and religions. We all have our differences so it is alright to try out something new. For instance, why not try to make kites like Asian people do for traditional games. This simple act means that we share and give, and at the same time, we gain and learn about other cultures.

We also want a greener world. To achieve a greneer world, we need to protect the forest, therefore logging should be controlled. Governments should take serious action if someone does illegal logging. If all the trees in this world is cut out, the ozone layer of the Earth becomes thinner, thus it will cause the rising of the Earth temperature. We will plant new trees to ensure the Earth's temperature stay cool.

24 November 2009 - Nurul Hanis ke Taiwan kerana memenangi Pertandingan Mengarang Artikel Bahasa Inggeris Anjuran British Council Connecting Classroom.

As a global citizen, let's care about the others. Give our sympathy to poor and war-torn countries. Help them with all the strength that we got; and I, the global citizen, believe some day we could share our happiness together. We should plan the future so that the future generations will have a better world to live. In other words, The Future is in Our Hands.

-Nurul Hanis Hashim (pasb_19hanis)
SBP Integrasi Pekan, Pahang, Malaysia.
TC: Mr Khairil Azwar Razali.

WAKTU P&P BI & BM DITAMBAH MULAI 2011

KUALA LUMPUR – Kabinet telah memutuskan supaya masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.

Bagaimanapun beliau berkata, masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. "Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu, tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang. Di sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sesi pembelajaran untuk BM akan ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu. Bagi BI, ia akan ditambah menjadi 120 minit seminggu daripada hanya 60 minit. – Bernama
Source: Kosmo Online: 20 Mac 2010

INSENTIF KEPADA GURU TINGKATKAN PRESTASI SEKOLAH

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.
Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini. “Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu. “Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.

“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.

“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.

Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas. Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan. Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. “Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya. - Source: Utusan Online

EBOOK DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI SEKOLAH

Penggunaan e-Book di dalam Kelas.
Tahniah semua guru dan murid SK Kampung Nangka, Besut, Terengganu.


Pada 12 Julai tahun lalu, seramai 49 murid Tahun 5 SK Kampung Nangka telah menerima e-Book daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Terengganu telah memperkenalkan penggunaan komputer riba mini atau "e-book" yang pertama di Malaysia kepada murid sekolah rendah bagi menggantikan buku teks sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid serta seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semasa. Ini merupakan satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Selamat Berjaya!

*Nota Pengarang: Alangkah baiknya kalau semua murid di seluruh negara dapat memanfaatkan kemudahan ebook ini untuk pembelajaran seharian mereka. Pengarang harap suatu masa nanti impian ini akan terlaksana.

PELAJAR TAMPAR GURU?

NIBONG TEBAL: “Jika saya tak mahu keluar, awak hendak buat apa?“. Itu jawapan biadab seorang pelajar tingkatan empat kepada guru sebuah sekolah menengah di sini, yang mengarahkan dia dan dua lagi rakannya keluar kelas.


Lebih mengejutkan lagi apabila pelajar berusia 16 tahun itu menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun itu.  Dalam kejadian 12.45 tengah hari Selasa lalu, pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas ketika itu guru wanita berkenaan sedang mengajar. Tanpa menghormati guru berkenaan dan mempedulikan pelajar lain, tiga pelajar berkenaan membuat bising sebelum guru terbabit mengarahkan mereka keluar dari kelasnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata apabila arahan berkenaan tidak diendahkan, guru berkenaan menampar pipi salah seorang pelajar terbabit sebelum dia membalasnya. “Malah, salah seorang pelajar kumpulan itu bertindak ganas apabila membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan tetapi dia berjaya mengelak.

“Melihatkan itu, seorang pelajar lagi menarik kedua-dua rakannya beredar keluar dari kelas itu sebelum guru berkenaan membuat aduan kepada pengetua yang mintanya membuat laporan polis,” katanya. Menurutnya, sehari selepas kejadian atau pada 13 Januari lalu, pelajar yang menampar guru berkenaan dibawa ahli keluarganya menyerah diri kepada polis dan bermalam di lokap selama sehari sebelum dia dijamin bapanya keesokannya.
Source: myMetro: 15 Januari 2010

* Lidah Pengarang: Inilah cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh insan yang bernama guru untuk mendisiplinkan anak didik. Namun kadang-kadang segala usaha ini tidak dinilai dan dihargai. Semoga para guru, ibu bapa dan anak-anak didik sekelian mengambil ikhtibar dari kisah yang dipaparkan di atas. Apa komen anda?

KELAB CEGAH JENAYAH PADA PERINGKAT SEKOLAH RENDAH



KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan kelab pencegahan jenayah pada peringkat sekolah rendah bagi menyemai budaya antijenayah di peringkat kanak-kanak.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata setakat ini, sebanyak 70 peratus iaitu 3,000 sekolah menengah di seluruh negara sudah menubuhkan kelab itu dan usaha akan terus dipergiatkan dengan kerjasama daripada pihak guru pada tahun ini.

"Kalau kita nak semaikan budaya antijenayah, kita harus mulakan dengan generasi muda. "Justeru, kita akan memohon kebenaran pihak kementerian supaya kelab ini dapat diwujudkan pada peringkat sekolah rendah selain menggiatkan usaha menambah bilangan penyertaan sekolah menengah," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Lee berkata, pihaknya mempelawa badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama melaksanakan program pencegahan jenayah dalam kelompok lebih kecil supaya kesedaran mengenainya menyentuh pelbagai peringkat.

"Kita bersedia membimbing NGO termasuk persatuan penduduk, persatuan perniagaan atau kebudayaan yang ingin mengadakan program dan kita boleh membantu dari segi memberikan maklumat dan garis panduan mengenai pencegahan jenayah.

"Selain itu, kita juga akan aktifkan MCPF peringkat negeri supaya lebih banyak program di kawasan daerah dapat dilaksanakan," katanya. Beliau juga berharap pihak polis dapat meningkatkan usaha memerangi jenayah terutamanya jenayah jalanan yang semakin ber-leluasa. "Perlu ada suntikan baru dalam usaha dalam memerangi jenayah termasuk dengan membabitkan orang ramai.

"Kita akan lebih aktif membantu pihak polis untuk mencapai NKRA (Bidang Keberhasilan Utama) mengurangkan jenayah jalanan di negara ini sebanyak 20 peratus," katanya. Katanya, NGO yang berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran program pencegahan jenayah boleh menghubungi MCPF di talian 03-22601954.
Source: Utusan Online 2.1.2010

WASIAT MENDIDIK ANAK BERIMAN


BAPA memikul tugas amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga. Dalam melaksanakan tugas itu, bapa perlukan petua kerana ia memainkan peranan penting dalam mendidik anak. Wasiat Lukman al-Hakim adalah yang perlu sentiasa dipegang kerana petua ini dinukilkan dalam al-Quran. Ia adalah sumber terbaik untuk diambil hikmahnya dalam hal berkaitan pendidikan anak. Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam satu surah khusus diberi nama surah Lukman, khususnya dalam ayat 13 hingga 19.

Justeru, kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohi beliau. Bagaimana Lukman mencapai makam yang mulia ini, menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu. Lukman menjawab: “Semua itu adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku.” Itulah jawapan Lukman al-Hakim ketika ditanya bagaimana beliau mampu mencapai makam yang tinggi sehingga menjadi contoh di kalangan masyarakat ketika itu, malah sampai ke hari ini.


Ramai di kalangan ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ yang diberikan Lukman al-Hakim kepada anaknya itu adalah teknik khusus untuk golongan bapa dalam mendidik anak. Sekiranya teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya anak akan lahir sebagai Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Abd Rahman Hassan Al-Maidani berkata menerusi bukunya Fiqh Dakwah, bahawa di sana ada 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui kisah Lukman mendidik anaknya menerusi ‘wasiat’ ini. Pertama, tauhid lawannya syirik. Tidak mensyirikkan Allah.


Disebutkan dalam wasiat ini, bahawa syirik kepada Allah adalah kezaliman yang amat besar. Mengapa? Kerana ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah Yang Maha Berkuasa sebagai Pemelihara alam semesta) dan syirik terhadap Uluhiyatullah (Allah sebagai Ilah, satu satunya Tuhan yang disembah, agungkan diutamakan). Syirik sebesar-besar kezaliman. Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat sepatutnya. Mengapa syirik dikatakan zalim? Sudah disepakati bahawa Allah yang menciptakan makhluk semesta alam dan Dia juga yang menurunkan nikmat. Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang menyamakan kekuasaan Allah dengan kuasa yang lain, maka dia sudah melakukan kezaliman. Allah saja yang layak disembah dan diagungkan kerana apa yang dilakukan-Nya itu tidak mampu dilakukan kuasa lain. Tetapi, jika kuasa lain yang diagungkan, maka inilah kezaliman.


Inilah yang diperkatakan menerusi ayat 13, surah Lukman yang bermaksud: “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah kezaliman yang amat besar.” Kedua, syukur. Lukman mengajar anaknya supaya bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tidak terhitung luas dan banyak. Kesyukuran mengandungi erti balasan perbuatan indah dan baik dengan perbuatan juga baik dan indah. Termasuk di dalam erti kata syukur ini ialah beribadah kepada-Nya dengan melakukan ibadat yang disyariatkan, mendekatkan diri kepada-Nya, menuntut keredaan-Nya dan memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepada-Nya yang Maha Esa.


Memuji lebih umum daripada bersyukur kerana hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji apabila bersifat dengan sifat yang baik, hatta yang dipuji itu tidak melakukan sesuatu kebaikan terhadap pemuji. Dan peringatan kesyukuran kepada Allah ini dikaitkan dengan pembalasan pada kari kiamat. Sekiranya kesyukuran itu kepada Allah, maka akan mendapat balasan pahala dan jika sebaliknya akan mendapat balasan seksaan di atas kekufuran dan keingkaran. Inilah yang diperkatakan melalui ayat 14, surah Lukman yang bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada-Ku tempat kembali.”


Ketiga yang dibangkitkan Lukman al-Hakim dalam wasiatnya ialah mengenang budi ibu bapa. Lukman mendidik anaknya supaya mengenang budi dan berterima kasih di atas susah payah dan jerit perih ibu bapa membesarkan anak dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan. Tunaikan hak kedua-duanya terutama kepada ibu kerana ibu bersusah payah bermula dari proses mengandung sehingga melahirkan anak, menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama dua tahun, membelai dan mendidik siang malam. Ketaatan kepada ibu bapa (walaupun berlainan agama) adalah wajib kecuali apabila disuruh mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan Islam.


Lihatlah tingkatan terima kasih (syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini di mana terima kasih kepada ibu bapa datang selepas syukur kepada Allah. Inilah yang diterangkan melalui ayat 14, surah Lukman bermaksud: “Dan kami wasiatkan (perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan menyusu dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu bapamu! Kepadaku tempat kembali.” Perkara keempat, tidak taat kepada arahan perkara maksiat.


Lukman mendidik anaknya dengan mencegah anaknya daripada mentaati ibu bapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan Allah dan perbuatan maksiat yang dilarang-Nya. Namun, sebagai anak, ibu bapanya harus dilayani, ditemani dan digauli dalam suasana penuh kebahagiaan dan kasih sayang. Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan, menghormati dan berkhidmat kepada mereka. Inilah yang diterangkan melalui ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan kalau kedua-duanya memaksa engkau supaya menyekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui, janganlah dituruti; dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut.”


Kelima, ikutlah jalan orang salih. Lukman menasihati anaknya supaya melalui jalan yang dilalui orang salih iaitu mereka yang kembali bertaut kepada Allah dengan keimanan, ketaatan dan meredah jalan yang lurus. Mereka yang kembali kepada Allah adalah daripada kalangan rasul, nabi, orang benar dan sesiapa saja yang mengikuti mereka dengan keikhlasan dari kalangan orang mukmin. Inilah yang diterangkan ayat 15, surah Lukman bermaksud: “Dan turutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku.”


Keenam, sentiasa ingat hari kiamat dan pembalasan. Lukman berpesan kepada anaknya supaya melakukan ‘pemerhatian’ hari kiamat dan arahan menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini. Inilah yang diterangkan melalui ayat 15 surah Lukman bermaksud: “Nanti kamu akan kembali kepada-Ku dan akan Aku beritakan kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” Ketujuh, setiap amal (tersembunyi atau terserlah) akan dihisab oleh Allah Maha Mengetahui. Lukman menerangkan kepada anaknya akan syumul ilmu Allah melewati ilmu manusia. Allah bebas melakukan apa saja tanpa ada halangan, mendatangkan sesuatu yang diinginkan-Nya daripada segenap tempat yang tidak mampu dibuat makhluk.


Sesuatu kebaikan, kejahatan, kezaliman dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi jauh dalam batu, di hujung langit atau terbenam sedalam di dasar bumi akan didatangkan Allah pada hari kiamat untuk dihisab dan diberi ganjaran dosa atau pahala. Inilah yang diterangkan melalui ayat 16, surah Lukman bermaksud: “(Kata Lukman): Hai anakku! Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tersembunyi) dalam batu, di langit atau di bumi, itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah itu Halus (mengerti hal yang halus) dan Cukup Tahu.”

Oleh : Endok Sempo Mohd Tahir

"PHISHING WEBSITES-LAMAN PERBANKAN PALSU?", APA TU?

AWAS LAMAN WEB PERBANKAN PALSU!

Orang ramai diminta berhati-hati dengan kegiatan ”phishing” atau penipuan siber melalui laman web palsu dengan menyamar sebagai entiti yang boleh dipercayai seperti laman web perbankan. Peringatan tersebut diberikan oleh CyberSecurity Malaysia hari ini berikutan pendedahan bahawa aktiviti cubaan ”phishing” semakin meningkat di negara ini.

Kegiatan ”phishing” merupakan proses jenayah penipuan dalam cubaan memperoleh maklumat peribadi seperti nama pengguna, nombor akaun, nombor PIN (nombor pengenalan peribadi), kata laluan serta butiran kad kredit dengan menyamar entiti boleh dipercayai menerusi komunikasi elektronik.

"Pusat Bantuan Cyber999 telah menerima banyak aduan dari pengguna internet di negara ini berhubung laman web ”phishing” yang dihoskan di luar negara yang nampak sama seperti laman web e-perbankan bank tempatan utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt.Kol. Husin Jazri.
- Petikan dari Bernama.

Sebaiknya kita berhati-hati dan berwaspada dalam masa membuat transaksi online di laman web perbankan masing-masing supaya tidak tertipu dengan gejala ini. Seelok-eloknya gunakan akses internet di rumah sendiri dan bukan di mana-mana Cyber Cafe supaya keselamatan lebih terjamin. Di samping itu kita harus pastikan laman web yang kita layari tersebut benar-benar laman web perbankan yang betul dan sah untuk menghindari dari tersalah melayari laman web 'phishing' tersebut. Pastikan URL laman tersebut betul kerana 'phishing websites' ni nampak serupa macam laman perbankan kita tetapi sebenarnya tidak.

APA YANG KITA BELAJAR?



We learn.....
10% of what we read
20% of what we hear
30% of what we see
50% of what we both hear and see
70% of what is discussed
80% of what we experience personally
95% of what we teach to someone else


-William Glasser, M.D.

TAHNIAH PASUKAN BOLASEPAK MALAYSIA!

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Skuad bola sepak bawah 23 negara mencipta sejarah Sukan SEA apabila menang emas pertama selepas kali terakhir dilakukan 20 tahun lalu. Jaringan gol sendiri pemain Vietnam selepas tolakan Norshahrul Idlan Talaha memberikan peluang untuk Malaysia memperoleh emas dalam acara akhir bola sepak lelaki Sukan SEA XXV. Kali terakhir skuad negara menang emas ialah di Temasya Kuala Lumpur 1989.

Source : Utusan Malaysia Online-17/12/2009 8:14pm

WAJIB JAGA HATI IBU

Oleh Hayati Ibrahim (Harian Metro, Jumaat, 11.12.2009)

PUTRAJAYA: Anak menderhaka terhadap ibu bapa dianggap manusia tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan yang tidak akan mencium bau syurga selagi tidak bertaubat kerana perbuatan itu memutuskan silaturahim.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata golongan itu tidak akan dirahmati dan diberkati Allah, malah kehidupan mereka sentiasa tidak tenang selain selalu berdepan dengan malapetaka dan dugaan besar.

“Ibu insan paling istimewa, malah Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah ditanya sahabat, siapakah manusia yang wajar diletakkan di tempat pertama untuk diberikan penghormatan dan kebaikan, Nabi menjawab: Ibu. Sahabat terus bertanya sehingga tiga kali, kemudian barulah disebut ayah yang perlu diberi penghormatan dan kebaikan.

“Syurga di bawah tapak kaki ibu, keredaan Allah adalah bersyaratkan keredaan ibu bapa, kemurkaan ibu bapa melambangkan kemurkaan Allah.
“Justeru, jadikanlah peristiwa ini sebagai satu pengajaran kepada orang lain dan menginsafi apa yang sudah dilakukan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Beliau diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro, kelmarin mengenai seorang lelaki tergamak menghantar ibu berusia 84 tahun ke rumah kebajikan, selepas mengetahui ibunya pernah menjaja tubuh untuk membesarkan tiga anak yang masih kecil akibat ditinggalkan suami.
Bukan itu saja, anak bongsu berusia 40-an yang mempunyai kedudukan, pangkat dan hidup mewah hasil didikan dan titik peluh ibunya, langsung tidak pernah menjenguknya selepas menghantarnya ke rumah orang tua sejak 2007, sehinggalah wanita itu menghembuskan nafas terakhir, dua tahun kemudian.

Noh berkata, kejahatan seseorang itu hanya ditanggung dirinya sendiri dan pihak lain tidak perlu menghukum di atas semua perbuatan jahat yang pernah dilakukan kerana Allah akan membalas semua kebaikan dan keburukan dilakukan hamba-Nya.

“Orang lain tidak akan memikul dosa dilakukan orang lain, tetapi ia akan ditanggung individu itu sendiri, seperti firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 164 yang bermaksud: “Dan tiadalah segala kejahatan yang diusahakan tiap-tiap seorang melainkan orang itulah saja yang akan menanggung dosanya, dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja),” katanya.Mengulas lanjut isu itu, Noh berkata, perbuatan ibu lelaki terbabit juga dosa besar dan wajar melakukan taubat nasuha.

“Ibu lelaki terbabit sudah melakukan dosa besar, tetapi tidak sampai peringkat syirik dan boleh diampun Allah. Jadi, si ibu perlu perlu melakukan taubat nasuha memohon keampunan Allah,” katanya.Selain itu, beban kesalahan itu tidak sepatutnya diletakkan semata-mata kepada wanita atau si ibu kerana si suami mempunyai tanggungjawab sepenuhnya kepada anak serta isteri mereka walaupun sudah berpisah. “Suami seperti ini perlu diheret ke mahkamah dan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap mereka kerana mengabaikan tanggungjawab nafkah bekas isteri dan anak. “Walaupun sudah bercerai, suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak, tak ada kompromi,” katanya.

WAJIB JAGA HATI IBU
KUALA LUMPUR: Sejahat mana seorang ibu, si anak wajib menjaga hati serta berusaha memperbetulkan perbuatan mereka kerana tanpa jasa wanita itu, anak tidak mungkin mampu melihat langit dan bumi.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam (Pekesim), Ghafar Nin, berkata walaupun seorang ibu itu pernah menjadi pelacur, anak tidak berhak menyisihkan mereka kerana Tuhan saja layak menghukum hamba-Nya.

“Anak itu sepatutnya mendoakan serta membimbing ibunya bertaubat bukan membencinya kerana jasa wanita itu membesar dan menyayanginya sejak kecil tidak mungkin terbalas,” katanya mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai tindakan seorang lelaki ‘membuang’ ibunya yang berusia 84 tahun ke rumah kebajikan selepas mengetahui wanita itu pernah bekerja sebagai pelacur untuk membesar dan mendidiknya.

PENCAPAIAN SEKOLAH PRESTASI TINGGI MESTI LEBIH 80%

OSAKA: Antara kriteria bagi 20 sekolah berprestasi tinggi (SBT) yang ditawarkan insentif dan keistimewaan ialah purata pencapaian akademik tidak boleh kurang daripada 80 peratus, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kriteria lain ialah sekolah itu sudah mengeluarkan personaliti hebat, bukan saja dari segi akademik tetapi bidang la-in seperti sukan serta pencapaian pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagi sekolah baru, kementerian akan lihat jika sekolah itu mempunyai aspirasi jelas dalam melahirkan pemimpin masa depan. "Kementerian akan menawarkan beberapa insentif dan keistimewaan, termasuk memberi kelonggaran dalam pengurusan kewangan, kurikulum dan pentadbiran bagi sekolah yang sudah mendapat pengiktirafan itu terus berkembang dan mencatat lebih banyak kejayaan," katanya.

Source: Berita Harian, 10 Disember 2009

SUKAN DIWAJIBKAN DALAM KOKURIKULUM

MUAR 6 Dis. – Kokurikulum pendidikan negara akan diubah bagi menjadikan sukan sebagai aktiviti wajib sekali gus sebagai komponen penting dalam pendidikan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bertujuan mencungkil potensi dan kebolehan pelajar menerusi pelbagai bidang serta menggiatkan lagi aktiviti sukan di negara ini.

“Kokurikulum di sekolah merangkumi pelbagai perkara sama ada sukan dan bukan sukan termasuk badan-badan uniform serta kelab dan persatuan. “Saya hendak mengubah sedikit dasar tetapi yang wajibnya adalah sukan,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan malam bersama bekas-bekas pelajar Sekolah Tinggi Muar di sini malam ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bidang sukan mampu mencorakkan pembawaan positif para pelajar di samping meningkatkan lagi tahap kecergasan. “Kita juga hendak bila ada acara sukan, semua keluarga datang beramai-ramai. “Sekarang ini, nampaknya perkara ini sudah tidak lagi diberi penekanan, oleh kerana itu, kita mahu membawa balik budaya bersukan ini di sekolah-sekolah,” katanya.
- Sumber: Utusan Malaysia

95,826 MOHON ASRAMA PENUH

95,826 MOHON ASRAMA PENUH
Oleh S Anand Kumar anand@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menerima 95,826 permohonan untuk kemasukan Tingkatan Satu (1) sekolah berasrama penuh (SBP) bagi 2010 untuk mengisi 6,600 tempat yang ditawarkan, kata Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Katanya, keputusan pemilihan dan penempatan pelajar terbabit akan diumumkan selewat-lewatnya 25 Disember ini.


Beliau berkata, semakan mengenai keputusan itu boleh dibuat melalui laman web rasmi kementerian iaitu www.moe.gov.my dan mereka dijangka mendaftar diri di semua 53 SBP yang ditawarkan pada 11 Januari tahun depan.Katanya, kementerian masih mengekalkan dasar 70/30 dalam pemilihan dan penempatan murid ke SBP bagi 2010, iaitu 70 peratus tempat untuk murid sekolah luar bandar dan 30 peratus (murid sekolah bandar).

“Semua pihak sedia maklum 48,171 murid memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya memahami ramai ibu bapa berhasrat untuk menempatkan dan mendapat pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka di SBP. “Namun begitu matlamat SBP pada dasarnya untuk memberi keutamaan menempatkan murid dari kawasan luar bandar, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Selain itu, katanya, pengetua SBP diberikan kuasa autonomi bagi memilih 20 peratus murid untuk ditempatkan di sekolah masing-masing. “Mereka (pengetua) akan memberi pertimbangan berdasarkan kebitaraan sekolah. Sebagai contoh, jika kebitaraan sekolah bidang muzik, murid yang mempunyai kemahiran dan latar belakang muzik akan diberikan keutamaan untuk dipanggil temu duga serta menjalani proses pemilihan oleh pihak sekolah, ” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga memberi keutamaan kepada anak daripada keluarga berpendapatan di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK). “Murid dalam kategori ini akan dibantu dari segi bayaran persekolahan, makanan dan keperluan asrama. Mengikut data SBP sehingga 31 Oktober lalu, daripada 32,836 murid di SBP, seramai 5,794 murid diberikan bantuan untuk meneruskan pendidikan mereka dengan lebih sempurna, ” katanya.
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20091127002313/Article/index_html

PENCAPAIAN UPSR 2009 MENINGKAT

Pencapaian UPSR meningkat - Alimuddin

PUTRAJAYA 19 Nov — Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.


"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini. Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus,” katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

— BERNAMA

Hebahan

Pihak sekolah SK Sri Suria Satu ingin mengucapkan
Selamat Menyambut Hari Guru kepada para guru sekolah dan luar sekolah.

Pautan berkaitan: Perutusan Rasmi dari Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di laman KPM.